Jumaat, 10 Februari 2012

Program Latihan Mengajar telah sampai ke Negara Brunei Darussalam

         Sepuluh pelajar Semester 7 daripada Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dengan Kepujian  telah dipilih untuk menjalani program latihan mengajar selama 16 minggu di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam. Program yang julung kalinya diadakan ini adalah kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Kolej Universiti Perguruan Agama Seri Begawan, Brunei (KUPU SB). Kejayaan usaha pengantarabangsaan program latihan mengajar ini bertitik tolak daripada inisiatif Dr. Shakinaz binti Desa, Pengarah Bahagian Pembangunan Akademik dan Kualiti yang telah mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pelajaran Brunei dan beberapa buah institusi pendidikan di Bandar Seri Begawan pada 22 hingga 25 Julai 2011. Lawatan yang turut disertai oleh Ketua Unit Latihan Mengajar ini telah berhasil dengan bersetujunya pihak KUPU SB untuk menerima pelajar-pelajar daripada UPSI bagi menjalani latihan mengajar bertempat di negara Brunei. UPSI juga turut bersedia untuk menerima pelajar-pelajar dari institusi pendidikan berkenaan untuk menjalani program yang sama di Malaysia.

                Kumpulan pertama pelajar UPSI seramai 10 orang ini telah pun berangkat pada 27 Januari 2012 ke Bandar Seri Begawan dengan diiringi oleh Dr. Misnan bin Jemali sebagai Penyelia. Pelajar-pelajar yang bergelar Guru Pelatih selama 16 minggu ini dijangka berada di negara berkenaan sehingga 26 Mei 2012. 

                Guru-guru Pelatih berkenaan telah ditempatkan di tiga buah institusi pendidikan iaitu Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Hassanal Bolkiah, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit. Mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan kepada Guru-guru Pelatih ini termasuklah Pengetahuan Agama Islam (IRK), Al-Quran, Tajwid, Hafazan dan Amali, serta mata pelajaran yang lain bersesuaian dengan objektif program latihan mengajar itu sendiri.

             Semoga misi untuk mengantarabangsakan latihan mengajar ini akan memberi manfaat yang besar kepada pelajar-pelajar yang terpilih. Semoga program ini akan berterusan dengan penghantaran kumpulan-kumpulan yang seterusnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan